Saturday 30 April 2011

Towkeh... harga kasi turun sikit la... gua mau untung juga maa....

Sebelum cerita pasal Cost Minus Mentality, elok kita buka gelanggang ini dengan menentukan sempadannya. Kita sediakan konteksnya supaya kita boleh letak cerita-cerita ikut grid-grid yang tertentu.


Tak sah kalau tak citer supply chain dan value chain dalam cerita cost reduction. Sebab, cost reduction ini perlu dilakukan pada setiap perhentian supply chain. Sebagaimana value/nilai ditambah apabila barang itu hanyut dari hulu ke hilir, kos juga mungkin ditambah semasa barang itu menghilir sungai.

Kita ambil contoh supply chain untuk buat Nasi Lemak. Ia mungkin bermula daripada nelayan (ikan bilis), penternak ayam (telur ayam), petani (beras), peladang (buah kelapa), pekebun (pandan, daun pisang). Bila mereka jual kepada pemborong, mereka letakkan harga. Mak Esah beli barang-barang itu pula dari pemborong. Mak Esah pun gunakan bahan-bahan tadi itu untuk buat nasi lemak. Jenuhlah Mak Esah bangun pagi-pagi seawal jam 3am untuk tanak nasi dan buat sambal bilis. Dia pun jual nasi lemak panas berbungkus daun pisang di gerai payungnya di tepi jalan. Mak Esah telah menambah nilai kepada bahan-bahan yang dibelinya tadi menjadi... nasi lemak bungkus daun pisang. Kos juga bertambah sebab semua orang dalam rantaian bekalan itu nakkan duit, semuanya nak untung, semuanya nak beli kereta, nak beli TV, nak bayar Astro Warna sebab nak tengok Maharaja Lawak. Mak Esah pun nak untung juga. Siapa nak berniaga kalau tak untung? Tapi... adalah harga RM1.50 itu boleh diterima oleh Kak Tini yang mengidamkan nasi lemak Mak Esah itu? Apa yang menariknya nasi lemak Mak Esah berbanding dengan Roti Canai Hussein Pakistan?.. Entah.. aku mana tau, tanya sendiri la...


Sayugia diingatkan, nilai itu terletak pada mata yang melihatnya (is in the eyes of the beholder...). Sesuatu yang bernilai bagi aku tak semestinya ada nilai pada mata orang lain. Value is subjective. Tapi, kita boleh ambil secara pukul rata nilai-nilai yang diterima oleh majoriti orang dan kita boleh anggap ia adalah nilai yang diterima. Faham? Tak faham sudah.


Jadi, cara mudah nak cerita pasal cost control ialah: mana-mana proses yang tidak menambah nila (added value), sila buang jauh-jauh. Proses yang tak ada nilainya, buat apa nak buat. Buang masa je. Buang duit je. Siapa nak bayar kos proses tu kalau tak ada nilainya? Pengguna yang cerdik pasti akan perasan dan tak mahu bayar kos proses yang tak ada gunanya tu.


Juga secara senangnya, mana-mana pembaziran perlu dihentikan supaya kos terkawal dan kos pengeluaran akan turun. Apa yang bazir? apa-apa sahaja yang tak perlu atau yang digunakan melebihi daripada yang diperlukan. Toyota kata ada 7 pembaziran yang perlu dielakkan. Aku malas nak tulis. Google sendiri " 7-waste".


Dan cara/metodologi nak capai pengurangan kos dengan cara di atas biasanya dipanggil Kaizen. Ada langkah-langkahnya. Sila google sendiri "Kaizen". Sepertimana tukang rumah perlukan pahat dan tukul, begitu juga dengan Kaizen. Ia ada 'tools' atau perkakasannya sendiri. Biasanya, orang guna '7-QC Tools'. Sila google sendiri.


Dan apa yang perlu kita fokuskan? Apa-apa sahaja yang boleh kurangkan kos pengeluaran (production cost)  boleh mengurangkan kso produk (product cost). Kawan yang duduk di sebelah aku pernah tanya Idris Jala (masa tu belum dapat Dato') dalam satu presentation, aktiviti apa yang perlu difokuskan untuk business turn-arround? Jawabnya, apa-apa aktiviti yang boleh beri impak kepada P&L (profit & loss). Apa P&L? Sila tanya orang akaun. TasekMerah, misalnya.


Kenapa aku suruh google sendiri? Sebab benda-benda itu menjadi satu kemestian untuk setiap warga kerja kilang. Memang menjadi rutin pekerja kilang terutamanya kilang-kilang Jepun. Mungkin mereka boleh hafal metodologi itu lebih bagus daripada hafal surah As-Sajadah..!


Itu cerita-cerita biasa sahaja. Aku malas nak olah banyak-banyak.



Aku nak cerita yang lain. Aku nak cerita bagaimana Mak Esah boleh untung lebih atau turunkan harga nasi lemaknya supaya Kak Tini suka beli dan dia pula boleh ceritakan kepada orang lain. Aku nak ceritakan bagaimana Mak Esah boleh jual nasi lemaknya denganh harga RM1.20 tapi untungnya tetap sama atau lebih walau tak jual pada harga RM1.50.


Tapi.... dah panjang ni. Sakit pinggang aku nak menaip.

Lain kalilah sambung cerita.






.

Friday 29 April 2011

Cost minus mentallity

.

"Towkey, itu harga kasi turun sikit laa... gua pun mau juga untung maaa..."

"...ooo tak boleh, gua pun untung sikit saja maaa..."


Jawapan ikut skema yang boleh diteka dari awal lagi.



Dalam kes B2C (business to customer), biasanya harga diturunkan dengan mencantas 'margin' keuntungan penjual. Bermakna, penjual dah awal-awal lagi naikkan 'margin' keuntungan. Itu biasa kita dengar dan tahu. Makcik kat Felda pun tahu macam mana nak minta diskaun wajan dan belanga sewaktu beli belah di utara tanah air. Tak mau cerita bab yang ini. Kita cerita bab yang lain.


Dalam kes B2B (business to business), kelakuan pembelian lain sikit sebab jumlah belian dan hubungan antara 2 firma tu lain sikit. Sebabnya, hubungan B2B ni lebih kerap dan lebih kekal sikit dari B2C. Dalam B2C, bila dah beli takkan dia datang esok nak beli lagi benda yang sama. Tapi, B2B biasanya akan 'repeat order'.


Cabaran dalam B2B, tekanan terhadap kos. Selalunya, untuk kekalkan hubungan perniagaan, si penjual dan si pembeli perlu bertolak ansur tentang harga. Macam-macam terma dan syarat dibuat.


Dalam sektor perkilangan, hubungan B2B ni lebih kompleks. Istilah 'vendor' digunakan untuk si penjual dan 'client' untuk pembeli. Juga istilah 'supply chain' dan 'value chain'. Value/nilai itulah yang kita tambah dan akhirnya kita beri kepada pelanggan akhir.


Client selalu minta turunkan harga barang yang dibeli manakala vendor yang mengilangkan barang tu pula tertekan dengan kenaikan kos bahan dan kos kilang. Jadi, bila client minta turunkan harga, vendor sering beri alasan tentang kos yang meningkat. Maksudnya, jika client masih mahu beli pada harga yang rendah, vendor perlu potong sedikit margin keuntungannya. Konsep yang sama seperti 'B2C' tetapi fundamentalnya tak sama.

Kalau begitu yang dia lakukan, vendor itu telah buat satu kesilapan besar. Dan mungkin bisnes dia tak tahan lama kerana fundamental B2B tak sama dengan B2C dari segi hubungan client - vendor/customer.


Dia kena terapkan ' Cost Minus Mentallity'.


Wuihh... dah panjang. Lain kali je aku tulis pasal tu.







.

Wednesday 27 April 2011

Nasihat melalui makan nasi....

Tadi, aku makan tengahari bersama-sama si dia. Kami makan nasi campur saja.


Aku ambil lauk Asam Pedas Ikan Pari dan Sardin, dan sayur. Si dia ambil Telur Asin separuh sahaja dan sayur. Ketika makan, aku lihat matanya asyik melihat-lihat lauk pauk aku. Aku tanya dia, nak rasa sikit lauk aku ke? Dia jawab, mestilah.. sambil buat muka muncung dan masam. Aku tanya lagi, kenapa ambil telur Asin separuh saja? Dia jawab, sebab dia ingat nak kongsi sikit lauk dengan aku sebab Ikan Pari tu agak besar dan aku pun ada ikan sardin lagi.

Ooo... baru aku tahu strategi dia. Dia ambil lauk sedikit dengan harapan dapat berkongsi lauk dengan aku, jadi dapatlah jimat kos. Itu satu strategi yang baik. Bagus. Tapi, strategi yang baik kalau tidak dikongsikan dengan rakan kongsi pasti tak dapat dilaksanakan dengan berjaya.



Semasa makan itu, aku suakan sudu aku ke tempe goreng pedas di dalam pinggang dia. Aku ambil sedikit. Sedangkan dia masih tertunggu-tunggu untuk ambil Ikan Pari di dalam pinggang aku. Dia kata, aku boleh ambil dari pinggan dia tapi aku tak beri pun sedikit lauk aku kepadanya.

Aku kata, orang yang berjaya biasanya akan buat langkah yang pertama. Habuan perlu dikejar. Jangan tunggu orang itu beri.



Dia pesan Teh Ais sedangkan aku cuma ambil air suam. Ikut petua orang tua-tua, kononnya. Semasa suapan terakhir, aku tergigit cili padi di dalam sambal cencaluk yang aku ambil. Aku kepedasan, sedangkan nasi telah habis. Aku teguk air suam tetapi pedas pada mulut semakin parah rasanya. Aku pun pesan Teh Ais untuk redakan rasa pedas. Sementara menunggu Teh Ais aku sampai, aku teguk Teh Ais dia sampai tinggal separuh.

Dia kata kepada aku, lain kali cuba fikirkan risiko dan buat persiapan mana yang patut sebagai pelan keluar jika risiko itu berlaku dan sebelum ia menjadi isu yang besar.



Ok lah........... , aku kata.







.

Saturday 23 April 2011

Bertaraf global, tak perlu around the globe...

.

Menjadi satu stigma kononnya kalau nak berjaya, firma perlu pergi global. Fikiran pendeknya, ke luar negara menjadi ukuran sama ada firma itu berdaya saing atau tidak. Ada benarnya tetapi tak juga semuanya benar.


Cuba fikir, kita sibuk nak buka operasi di luar negara tetapi dalam masa yang sama, orang luar berebut-rebut nak masuk ke Malaysia nak berniaga. Kerajaan pun memberikan insentif untuk mereka demi untuk memastikan sasaran FDI (foreign direct investment) tercapai.


Sungguh pelik kalau kita beria-ia mahu ke luar negara sedangkan banyak lagi yang nak masukke Malaysia. Soalannya, apa yang mereka nampak di negara kita yang kita tak nampak? Atau mungkin kita nampak tapi buat-buat tak nampak. Buat-buat buta.


Mereka yang datang ke sini sudah tentu bersedia dengan segala kelengkapan dan otak fikiran.

Mereka datang dengan duit dan teknologi. Kita perlu tahan serangan itu dengan duit dan teknologi juga.... dengan bijaksana.. juga dengan licik.


Kalaulah kita mampu bertaraf global, sama taraf dengan mereka, kita tak perlu risau walau sesiapa pun yang datang memacakkan tiang kilang mereka di sini.

Ini kerana walaupun mereka bertaraf global dari segi kecekapan dan pengurusan, mereka tetap tidak dapat lari dari bebanan menjadi orang asing (foreigner's liability).

Mereka datang dan mereka bertarung di padang kita. Padang yang kita lebih arif dengan selok-belok, lurah dan gunungnya. Kecualilah kita terlalu bodoh sampai orang asing lebih tahu daripada kita. Sejarah telah membuktikannya. Risikan dan talibarut. Perkataan yang setaraf dengan penderhakaan.


Mereka datang dengan duit dan teknologi tetapi mereka masih menggunakan sumber-sumber kita. Sumber-sumber atuk nenek kita. Sumber-sumber yang dalam kawalan kita. Kecualilah kalau kita sendiri mengalu-alukan mereka datang dengan menaburkan bertih beras dan bunga rampai. Merelakan diri kita diperhambakan lagi... dan lagi.



Kalau kita setaraf dengan globalnya mereka yang datang, kita masih mempunyai kelebihan-kelebihan lain yang memungkinkan kita mampu menewaskan sesiapa pun yang datang.


Hang Tuah pernah melakukannya....







.

Thursday 21 April 2011

Going Global not necessary in physical capacity...

.

Globalisasi


Satu perkataan yang kuat, yang sering aku dengar di persada Malaysia sejak 4 tahun kebelakangan ini. Juga sejak DS Najib naik takhta Perdana Menteri.

Dalam arena industri pula, globalisasi telah lama berkumandang, sejak awal 90-an lagi. Padahal globalisasi telah pun bertapak didunia perniagaan berkurun lamanya, sejak KFC bertapak di Malaysia, sejak Shell berada di Sarawak. Malah, mungkin beratus-ratus tahun lamanya jika boleh ambil kira Syarikat British-India yang telah bertapak di sekitar nusantara.


Dalam arena perniagaan, globalisasi yang dicanang-canangkan adalah salah satu strategi perniagaan.

Mengikut kata cerdik pandai, strategi perluasan perniagaan ke luar pesisir (ayat je canggih, maknanya nak keluar negeri) ada 4 cara:

1. Localization
2. Multi-local Organization
3. Globalization
4. Internationalization


Jadi, janganlah terlalu gah mencanangkan globalisasi kerana ada 3 cara lain lagi. Setiap satunya ada kelebihan dan kekurangan. Jangan kabui pandangan masyarakat Malaysia seolah-olah globalisasi itu satu-satunya jalan keluar. Jangan momok-momokkan orang ramai dengan 'ancaman' globalisasi.

Ini kerana jika sesebuah syarikat berasa strategi globalisasinya mungkin mendapat tentangan hebat, syarikat mungkin boleh guna strategi Multi-Local organization atau localization dan mereka masih boleh berjaya dalam perniagaan.


Banyak contohnya. Tak perlu bagi contoh-contoh yang canggih-canggih seperti HSBC dan Citibank. Itu untuk professor-professor madya. Kita-kita ni ilmu picis-picisan jer, tak perlu kerah sangat otak malam-malam Jumaat ni..


Aku bagi contoh yang mudah untuk difahami dan dapat pula dilihat di sekeliling kita.

Kita tahu di Malaysia industri makanan dan restoran didominasi oleh kaum Melayu (majoriti penduduk Malaysia adalah Melayu) dan (mungkin) Islam. Ini kerana budaya setempat adalah sangat berkaitan dengan makanan dan makanan yang dimaksudkan di Malaysia ialah yang HALAL.



Bagaimana kaum lain ingin merebut peluang dalam perniagaan makanan di Malaysia?

McDonal dan KFC menggunakan strategi Internationalization dan globalisasi, iaitu menggunakan standard model perniagaan dan jenama syarikat induk. Sistem franchais, contohnya. Dalam internationalization, prosedur dan budaya syarikat induk dibawa masuk dan biasanya budaya setempat agak lama untuk menerima budaya perniagaan tetapi kalau telah berjaya di'budayakan', syarikat akan kukuh, seperti Coca Cola dan Pepsi yang nilai jenamanya sahaja mencecah $80 billion. Tapi, pelaburan untuk 'membudayakan' itu bukan murah. Wang dan masa banyak habis. Globalisasi pula memajmukkan budaya perniagaan itu hingga payah nak kenal dari mana asal syarikat itu. Dari segi standard dan model perniagaan juga menjadi global, sehinggakan seolah-olah syarikat itu berasal dari Bumi dan diwakili oleh penduduk Bumi. Dengan kata lain, syarikat 'sepatutnya' mampu menawarkan budaya perniagaan yang boleh diterima oleh majoriti penduduk dunia. Jadi, kalau kita di dunia ke 3, kita akan berpendapat syarikat itu datang dengan budaya perniagaan dari dunia maju, semestinya kita akan takut kerana mereka banyak modal, cara kerja yang mementingkan kecekapan dan keuntungan.

Namun, tentangan selalunya berlaku. Itu dipanggil 'foreigner's liability'. Tanggungan yang disebabkan mereka bukan local. Banyak tanggungannya, salah satunya membayar tariff yang lebih, buat iklan lebih sikit, suap sana-sini... pelaburan tinggi untuk menawan hati orang tempatan.


Kalau itu payah, strategi yang lebih 'halus' ialah dengan cara Multi-Local.

Pernah dengar perkataan 'GLOKAL' satu ketika dulu?

Glokal itu gabungan Global + Lokal. Pernah diwar-warkan sedikit masa dulu oleh pak menteri. " kita mahu menjadi Lokal tetapi bertaraf Global ".


Senang cerita, strategi ini menjadikan budaya setempat (local) di meja hadapan sedangkan dibelakang tabir adalah mereka-mereka yang datang dari global. Dengan kata lain, rakyat setempat akan melihat 'muka-muka'  tempatan di premis itu tetapi di belakang pintu segala jenis mat salleh dan mat hitam ada.


Itu dari segi servis pelanggan. Dari segi strategi perniagaan pula, model perniagaan yang dibawa masuk adalah mengikut firma asal tetapi ada sedikit perubahan / ubahsuai untuk 'serasi' dengan budaya setempat.


Contoh yang sedikit kena mengena tetapi dapat menerangkan tentang konsep Multi-Lokal ialah Kopitiam. Kita tahu kebanyakkan kopitiam adalah perniagaan kaum Hailam / Hainan. Apa yang mereka buat ialah menggaji pelayan dari orang Malayu atau Indon, juga tukang masak yang Islam kerana mereka tahu makanan itu berkait dengan budaya tempatan dan di Malaysia, majoriti tempatan adalah yang halal. Padahal, pes mee kari dan kopi campuran dia mungkin dari sumber yang sama. Manalah kita tahu. Yang kita nampak cuma 'wajah-wajah' muslimah yang redup-redup air mukanya...



Oklah...

Cerita berkaitan tajuk entri tu belum lagi diceritakan di sini. Dah panjang ni. Bukan ada yang suka baca panjang-panjang pun.


Topik tajuk entri tentang 'menjadi globalisasi tak semestinya ke luar negara' nanti aku tulis lain kali.







.

Tuesday 19 April 2011

Berlumba-lumba setiap pagi dengan si dia...

.
" Ah... kali ini kita menang..!!!" kata aku kepada anak aku di sebelah.




Aku perlu pastikan anak aku sampai di sekolah tepat pada waktunya. Aku takrifkan 'tepat' itu sebagai 'tidak awal dan tidak lewat'. Jadi, setiap pagi aku akan pecut kereta tua aku, dan anak aku akan sampai 'tepat' pada masanya.


Penanda aras kami ialah seorang wanita berbangsa India pertengahan umur dan seorang anak lelakinya yang aku kira sebaya dengan anak aku.

Setiap pagi, aku akan terserempak dengan wanita dan anak lelakinya itu berjalan ke sekolah. Ya, mereka berjalan ke sekolah dari taman perumahan yang tidak jauh dari rumah aku. Tidak jauh. Dan mereka berjalan kaki ke sekolah kira-kira 1 km pergi dan pulang.


Kadang-kadang, kami terserempak mereka berdua di pintu pagar. Tapi, selalunya kami berselisih dengannya ketika dia sudah berjalan pulang dari sekolah. Ya, kami seringkali kalah dengannya yang setiap hari berjalan kaki.


Setiap kali kami berselisih dengan wanita itu, aku akan tunjukkan kepada anak aku. Kami 'berlumba' dengannya dalam diam.




Dan pagi ini, dengan jayanya aku sempat berhentikan kereta aku kira-kira 20 kaki ke depan dari mereka. Aku suruh anak aku keluar cepat-cepat dan berlari ke pintu pagar untuk pastikan anak lelaki India itu kekal di belakangnya.



Dan pagi ini, dengan bangganya kami telah berjaya mengalahkan mereka !







.

Sunday 17 April 2011

Otak Lembu...

.


Selama ni cuma tengok dalam Ass-throw, pasal makan benda bukan-bukan. Tapi kali ini aku jumpa sendiri resepi 'taboo'.


Tadi aku balik ke Langkap, dah tengahari tak manislah terjah rumah abang tanpa bagi 'signal' awal-awal nak datang. Mau disambut dengan batang penyapu, bukan nasi ambeng.


Jadi, aku singgah di restoran Ajmal Nasi Kandar.


Antara sajiannya, yang ini....







Aku tak sanggup nak makan gulai lemak Otak Lembu.

Aku ambil kepala sotong masak sambal.







.

Saturday 16 April 2011

Memang pesen pemandu Malaysia macam tu...

Oppsss...... !!!



Lain kali sebelum masuk ke dalam kereta, cuba jangan terus buka pintu bahagian pemandu.

Cuba berjalan ke sebelah sana kereta, sebelah kiri kereta dan berdiri dengan kepala sama paras dengan tombol pintu itu.

Lihat betul-betul permukaan pintu depan dan belakang sebelah kiri badan kereta itu.

Kemudian, pergi semula ke sebelah kanan badan kereta. Buat perkara yang sama.


Cuba perhatikan perbezaannya...


Aku dapati panel pintu depan dan belakang sebelah kiri kereta aku berlekak-lekuk. Penuh dengan garis-garis calar. Sebelah kanan kereta aku okey.

Sebabnya, orang parking sebelah selalunya tak hiraukan pintunya bila dibuka. Asyik 'tersentuh' panel kereta aku.

Aku juga dapati, semua kereta pun lebih kurang begitu: sebelah kiri lebih banyak lekak-lekuk daripada sebelah kanan.


Sebabnya, kereta di Malaysia dipandu dari sebelah kanan. Dan bila parking rapat-rapat memang payah buka pintu nak keluar. Lebih-lebih lagi kalau pesen buka pintu dengan kaki.





.

Thursday 14 April 2011

Sub-way roti panjang

.

Sub-way. Pernah nampak. Makanan sedap. Rotinya setengah kaki panjang. Kerat dua, satu makan dan satu lagi boleh simpan untuk esok-esok kalau tak basi.


Kenyang.









Kat mana sub-way ni?

Alaa... di Ground Floor, Bangunan Teoh-Beng-Hock, Seksyen 9, Shah Alam.







.

Ada orang meninggal dunia

.


Pagi-pagi tadi, seorang rakan hantar sms mengatakan ayahnya meninggal dunia. Penyebabnya dikatakan kanser.

Di pejabat pula, seorang rakan lain dapat e-mail mengatakan yang rakannya sekolahnya telah meninggal dunia juga. Penyebabnya dikatakan hypertension.

Hari ini hari Khamis. Ada diceritakan betapa eloknya jika dapat meninggal dunia pada hari Jumaat kerana diangkat siksa kubur.

Aku teringat salah satu ceramah oleh Ustaz Hassan Din tentang hakikat kematian dalam salah satu saluran TV.

Katanya, kematian pada hari Jumaat itu termasuk mati pada hari Jumaat, atau mati pada malamnya dan dikebumikan pada hari Jumaat.

Mungkin ramai yang tak sedar, aku pun baru sedar beberapa tahun kebelakangan ini, bahawa peralihan hari bagi manusia ialah 12.00 tengah malam tetapi peralihan hari bagi umat Islam ialah masuknya waktu Maghrib.

Kerana itu doa akhir tahun dan awal tahun dibuat sebelum dan selepas Maghrib.

Kerana itu juga berbuka puasa dibuat di penghujung hari iaitu bila masuknya Maghrib.








.

Wednesday 13 April 2011

Prinsip ... sampai bila ia bertahan?

.

Kadang-kadang, aku terjumpa duit syiling di atas jalan.


Ada kawan aku dulu, dia akan ambil.


Katanya, itu rezeki. Tuhan beri dengan cara itu.

Namun bagi aku, prinsip tetap prinsip. Kalau bukan milik aku, aku tak akan ambil.

Biar pun duit kertas bergulung. Malah, mungkin aku tak usik pun.




Pernah satu hari itu, di tempat letak kereta, aku ternampak duit kertas RM10 di atas tanah.


Aku lambai seorang penunggang motor yang lalu dekat situ, dan aku tunjukkan kepadanya.

Apa yang dia nak buat dengan duit tu, itu hal dia.

Janji, duit itu tidak dibazirkan nilainya begitu sahaja. Dan yang penting, aku tak langgar prinsip aku sendiri.







.

Terpedaya

Terpedaya...


Satu iklan itu mempamerkan satu produk baru yang diperkayakan  (improved), sehingga 25% lebih berkesan. Atau 35% lebih tinggi.

Cuma yang aku mungkin tak perasan ialah, apa asasnya (baseline) untuk ukuran peratusan itu?

Adakah 25% lebih berkesan daripada produk pesaing?

Ataukah 35% lebih tinggi daripada produk pesaing?

Kadang-kadang, ada tulisan kecil yang jarang kita baca, atau mungkin mereka tak berniat untuk beri kita baca.

Bahawa perbandingan itu hanyalah dengan produk sebelumnya. Dibandingkan dengan produknya sendiri.




Mengelirukan.... sungguh...







.